Kisah Bangau Dan Ketam

DONGENG KU UNTUK YUNIE

Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya jernih dan ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik itu dan salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasik hidup bermacam-macam ikan seperti tilapia, sepat, keli, haruan dan haiwan lain seperti ketam dan katak. Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik itu kerana senang mendapat makan.

Hari silih berganti, burung bangau semakin tua dan tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Ada kalanya si bangau terpaksa berlapar seharian kerana tidak memperolehi tangkapan. Ia berfikir di dalam hati, “Kalau beginilah keadaanya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah”.

Si bangau mendapat akal. Dia berpura-pura duduk termenung dan bersedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya “Kenapa aku lihat akhir-akhir ini kamu asyik termenung wahai bangau?”. Bangau menjawab ” Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita.” “Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah.” Jawab katak. “Aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas dan hujan pun sudah lama tidak turun”. Bangau menyambung lagi “Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati.” Katak mengangguk-ngangukkan tanda bersetuju. Tanpa membuang masa si katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain.

Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasik begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau “Apa yang harus kita lakukan?” Si bangau berkata “Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak setuju.” “Apa cadangan engkau, bangau?” tanya haruan seolah-olah tidak sabar untuk mendengarnya. Bangau berkata “Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang.” “Bolehkah engkau membawa kami ke sana” sampuk si ketam. “Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu” kata burung bangau lagi. Mereka pun bersetuju dengan cadangan si bangau.

Si bangau mula mengangkut seekor demi seekor haiwan daripada tasik tersebut, tetapi bukan untuk dipindahkan ke tasik lain malahan untuk dimakan. Begitulah perbuatanya sehingga sampai kepada giliran seekor ketam. Sambil diterbangkan oleh si bangau si ketam memandang ke bawah lalu terpandang tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar, dengan masa yang sama si bangau mendarat di atas batu besar itu. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya “Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau.”

Si ketam berkata “Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?” Bangau ketawa terbahak-bahak lalu menjawab “Kali ini tiba masanya engkau menjadi makanan aku.” Dengan perasaan marah ketam menyepit leher si bangau dengan sekuat-kuatnya hingga putus dan si bangau mati di situ jua.

Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi mangsa si bangau durjana, si ketam bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik membawa kepala si bangau untuk ditunjukkan kepada kawan-kawannya. Sampai saja di tasek si ketam pun menceritakan kisah yang berlaku. Semua penghuni tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kepada si ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.

Advertisements

1 Comment (+add yours?)

  1. Murni
    Apr 24, 2011 @ 14:01:45

    Best! Lama udah ndak baca dongeng.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: